Thursday 10 May 2012

Gotong-royong mini SKBS

Mengecat bata
       Hari ini berlangsung gotong-royong di SKBS. Gotong-royong itu dijayakan oleh warga sekolah bersama murid-murid tahun 3,4.5 dan 6.

Mengikis cat pada tembok
    Gotong-royong ini adalah secara kecil-kecilan dahulu sebelum berlangsungnya gotong-royong mega pada hari Ahad depan yang akan dilaksanakan oleh waris dan warga sekolah anjuran PIBG.

Mengikis cat pada pagar
    Gotong-royong ini hanya melibatkan seluruh kawasan sekolah termasuk dalam dan luar kelas. Manakala pagar serta tembok hanya dikikis dan disembur dahulu dengan air dahulu untuk membuang segala lumut, cat lama serta segala kekotoran sebelum Ahad depan dicat semula.

Mencuci tingkap
    Murid-murid teruja dengan aktiviti fizikal ini sehingga ada yang bertanya, " Cikgu, bila lagi kita nak buat camni lagi."

Menyapu luar kawasan kelas
   Walaupun hanya sekadar makan masa selama satu jam sudah menampakkan hasilnya apabila seluruh kawasan sekolah lebih bersih serta kemas.

Membuang sawang di dalam kelas
    Alangkah baiknya jika setiap hari murid-murid dapat bergotong-royong di dalam kelas sebegini tanpa menunggu guru mengarah dan turut serta menyapu sampah. Untuk murid tahap dua mungkin berlaku. Namun untuk murid tahap satu tetap memerlukan campurtangan guru sebanyak 99.9%.

Mencabut rumput di laman luar kelas
    Kesalnya adalah apabila kelas tahun 3 telah kehilangan 2 batang penyapu akibat gotong-royong tersebut. Hairannya aadalah apabila murid tahun 3 sendiri yang menggunakannya. Bukannya murid kelas lain.
     
Mencakar rumput
    Diharap semoga sekolah comel ini sentiasa dalam keadaan cantik, bersih dan kemas dengan sikap warga serta murid-muridnya yang senantiasa tertanam dalam jiwa tentang hadis 'kebersihan itu adalah separuh dari iman.' Bukan sekadar dilafaz tetapi dilaksanakan tanpa disuruh.

Mengangkut pasir untuk diratakan di taman permainan PRA
    Sekolah bersih mata dan hati juga akan bersih untuk memudahkan ilmu yang merupakan 'nur' untuk menembusi dada.

Menceduk pasir
    Sikap tolong-menolong serta bantu-membantu juga perlu senantiasa diamalkan kerana itulah norma hidup bermasyarakat.

Kita minum dulu

Wednesday 9 May 2012

Ceramah bahaya dadah.


     Ceramah bahaya dadah telah diadakan pada hari Rabu bersamaan 9 Mei 2012 bertempat di surau Ariffin Puteh SKBS. Sesi ceramah selepas rehat itu telah disampaikan oleh Encik Mohamad Yalal Bin Long. Beliau merupakan pegawai penolong persekitaran. Encik Yalal ini juga telah menyampaikan ceramah ketika kursus jenazah para guru SKBS di Masjid Sungai Seluang pada April lalu.

Murid perempuan yang senantiasa fokus
    Ceramah ini hanya membabitkan murid tahap dua iaitu tahun 3, 4, 5 dan 6 sahaja. Manakala murid tahun satu dan dua dijalankan P&P seperti biasa.

Aishah tidak sanggup melihat slaid @ melihat Cikgu Padhilah..hehe
     Ceramah yang berlangsung selama 2 jam itu memberi info tentang pengaruh dadah yang bermula dari rokok yang memudaratkan sehingga kepada AIDS yang tidak mempunyai ubat.

    Penayangan slaid gambar-gambar luka akibat AIDS yang mengerikan membuatkan murid-murid berasa jijik dan ada yang berpaling ke belakang serta menutup mata kerana tidak sanggup untuk melihat.

    Diharapakan agar ceramah seumpama ini ada susulan supaya anak-anak ini tidak mendekati rokok dan dadah sama sekali.

*** Jika dadah itu haram. Rokok juga haram. Namun perokok-perokok tegar tetap mempertahanakan rokok walaupun sudah difatwakan haram pada 1995. Fikir-fikirkanlah bahawa jika sayangkan Nabi dan mengikut sunnah baginda justeru ikutlah baginda dengan tidak merokok kerana baginda juga tidak merokok.

Saturday 5 May 2012

Birthday Qasidah tahun 5

Sama tak muka Syahmi dengan Upin dan Ipin..eheh



Posing sebelum potong kek..

    Ini cerita bulan lepas. Qasidah setiap tahun meraikan sambutan kelahiran bersama rakan-rakan sekelasnya. Apabila disebut sambutan hari jadi bagi kanak-kanak pastinya adalah kek dan bungkusan yang mengandungi gula-gula, keropok, coklat menjadi juadah. Bagi kanak-kanak seperti mereka, itu sahaja sudah cukup membuatkan mereka gembira. Oleh sebab itulah saya lebih suka menjamu dan memberi kepada kanak-kanak yang lebih menghargai pemberian.

    Selaku guru yang mengajar mata pelajaran terakhir maka saya ditugaskan untuk menguruskan majlis kecil-kecilan ini. Ini kerana majlis yang selalunya diadakan pada waktu rehat terpaksa ditunda kerana kelewatan mak Qasidah menghantar kek dan bungkusan gula-gula.

    " Ustazah, bila nak makan kek?" tanya Syahmi ketika permainan kapal terbang sedang berlangsung.

    " Sekejap, tunggu sehingga habis permainan ini dahulu," begitulah ragam anak-anak dengan kek..hehe.

   " Ustazah. gambar Upin Ipin ni bole makan dak ?" merujuk kepada edible image yang terdapat atas kek
     tersebut.

   " Boleh, insyAllah," walhal hakikatnya saya sendiri belum pernah merasa dan memakan edible image itu.

    Seharian di hari itu kami makan kek. Bermula dari cupcakes yang saya bawa sempena ulangtahun kelahiran saya pada hari sebelumnya. Kemudian kek ualngtahun Ustazah Hawa yang juga menempah dari mak. Makanya sudah tidak mampu merasa dan menjamah kek Qasidah. Tidak merasa pun tidak mengapa kerana Aiman Zulhakim berkali-kali menambah..hehe.

*** Bersyukurlah dengan setiap suap rezeki yang kita makan kerana ada sesetengah manusia yang tidak 
       dapat menjamah walau sebutir nasi dan secubit roti selama beberapa hari ***
  

Tuesday 21 July 2009

Bangganya sebagai guru Al-Quran


Kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana pada hari ini seorang lagi murid tahun 2 Al-Farabi telah dapat menghabiskan keenam-enam buku iqra' dan mulai membaca Al-Quran.

Nur Nabila adalah murid tahap sederhana yang rajin berusaha dan merupakan seorang kanak-kanak yang baik.

Tahun lepas hadiah kerajinan, ketekunan dan sikap baik telah saya berikan kepadanya sebagai galakan kepada semua murid kelas tersebut untuk rajin berusaha dalam pelajaran dan bersikap baik.

Jika guru Matematik berbangga dengan kejayaan murid-muidnya apabila memperolehi A dalam UPSR maka sebagai ustazah saya amat berbangga apabila murid-murid saya mencintai Al-Quran dengan membaca dan mengamalkan isinya.

Jika ibu bapa sibuk menghantar anak-anak ke tuisyen dan menumpukan kepada mata pelajaran lain saya tetap mengatakan Al-Quran adalah yang lebih penting.

Maka sesibuk mana pun saya dengan kerja-kerja yang lain. Walau hanya saya seorang guru agama yang tinggal di sekolah ini maka masa tasmik tetap saya tidak abaikan.

Murid-murid itu sudah cintakan Al-Quran.
Tanpa disuruh mereka sudah keluarkan iqra' dan Al-Quran untuk dibaca.
Mereka sudah tahu adab memegang Al-Quran perlu ada wuduk.
Mereka berusaha membacanya walau masih membaca iqra'.
Mereka berusaha membaca iqra' dan menghabiskannya untuk seterusnya membaca Al-Quran.

Semoga cinta mereka ini hingga ke akhir hayat.

Sunday 19 July 2009

Mere Nam JOKER


Perbezaan ketara yang saya nampak pada anak didik tahun 2 Al-Farabi.
Sebelum cuti panjang di sekolah kerana menghadiri interaksi tutorial dan beberapa kursus.
Mereka masih punya kenakalan ketika p&p berjalan.
Namun selepas cuti kenakalan mereka kian pudar.
Maka p&p dapat berjalan dengan lebih lancar.
Saya sebagai guru kini sudah makin berjaya menjadi pelakon.
Sudah punya unsur kecindan ketika p&p.
Membuatkan kanak-kanak itu ketawa, tersenyum dan belajar dengan gaya lebih santai.
Nampaknya saya sudah mempraktikkan nasihat pensyarah pembimbing saya iaitu Ustaz Aziz yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar.

Terima kasih ustaz, jasamu amat bernilai dan diharapkan mendapat ganjaran dari Yang Esa.

Seorang guru adalah pelakon yang mampu memberi ilmu dan membuatkan anak didiknya gembira sentiasa walaupun dirinya diselubungi duka.

'Mere nam joker' tajuk filem Hidustan lakonan Shammi Khapoor rasanya sesuai juga diberikan kepada seorang guru yang berlakon sebagai pelawak dipentas ilmu.

Sebagai guru kita perlu dahulu menghargai anak murid kita maka dengan itu mereka akan menghargai kita mungkin sehingga kita tua dan sehingga nyawa di penghujung masa.

Saturday 18 July 2009

Tragedi cuti hari kedua


Hari ini jam tangan yang retak akibat jatuh kelmarin telah rosak.

Saya sedarinya pada waktu petang tadi.

Nampaknya esok saya ke sekolah tanpa jam yang telah menemani saya sejak darjah satu bermula dari model pertama hadiah pemberian abah kerana saya mendapat nombor dua dalam peperiksaan hujung tahun.

Banyak-banyak jam yang telah saya pakai jam kali ini yang pendek usianya bersama saya.

Tidak sampai sebulan jam besar bertali biru air yang menjadi perhatian murid saya itu kerana bentuknya yang unik.

Kata Kak Imah (guru Bahasa Inggeris di sekolah) sesuatu yang pelik itulah bagus kerana dapat menarik perhatian orang terhadap kita terutama murid-murid.

Kata-katanya itu berikutan cerita saya tentang rakan di IPGM Kampus Darulaman yang terkejut dan tidak menyetujui saya memakai jam sebegitu kerana tidak sesuai sebagai seorang guru.

Saya tidak memarahinya dengan teguran itu namun saya tetap saya yang mempunyai minat dan cara tersendiri yang tidak akan mudah terpengaruh dengan pandangan, cara dan tohmahan orang.

Asalkan ia tidak menyalahi agama.

Biar langgar adat...
Jangan langgar syariat...

****Ujian sungguh kerana ketika menanti gaji pertama entah bulan berapa akan dapat ini berbagai-bagai benda penting yang rosak yang patut diganti untuk kegunaan. Ketika hanya 25 qirsh berada dalam poket di Mesir tidak pula risau sebegini****

Friday 17 July 2009

Malang @ ujian

Broadband tidak dapat disambungkan setelah mencuba hampir satu jam sehingga menyebabkan kelewatan untuk ke bank. Bukan sahaja pada hari ini malah sejak berada di Jitra ketika kursus induksi bulan lalu.

Bank sudah tutup ketika hendak membayar insuran kereta kerana 3 kali pusing mencari parkir di Lagenda Heights ( kawasan yang cepat membangun sejak wujud Tesco, RFC, beberapa bank, Alamoda dsbnya )

Membawa modem broadband ke kedai untuk memeriksa samada ia rosak atau talian celcom yang menghadapi gangguan.

Mudahnya ia dapat disambungkan ketika di kedai juga di Lagenda Heights. Menurut tuan kedai talian Celcom memang menghadapi masalah sekarang dan akan pulih di hujung bulan ini. Malah katanya Taman Ria memang mempunyai talian yang kurang baik. Hati terbakar juga kerana duit dibayar setiap bulan tepat pada masanya tetapi sekarang terpaksa menggunakan internet yang lambat seperti 10 tahun lalu. Cina itu hanya tersenyum mendengar rungutan saya dan dia mencadangkan saya agar meminta diskaun daripada Celcom di atas perkhidmatan yang lembap ini.

Jam yang dibeli selepas pulang dari BTN Langkawi mengantikan jam lama yang rosak akibat masuk air telah terjatuh kerana tersangkut sarung lengan ketika pulang tadi. Cerminnya telah retak sehingga menganggu nombor 12.

Hari ini adalah hari yang malang dengan pelbagai perkara yang ingin dilakukan tidak dapat dilaksanakan.

Sebenarnya ia bukan hari yang malang tetapi merupakan beberapa ujian kecil untuk menyedarkan diri ini akan beberapa kesilapan yang telah dilakukan.

Diri mula muhasabah akan kealpaan, kelekaan dan kesalahan untuk diperbetulkan dan tidak dilakukan kembali.

Hidup tidak selalunya indah....
Jika selalu indah kita mudah lupa...
Lupa pada Pencipta...
Lupa pada kesusahan...
Lupa pada kesalahan...
Ujian itu demi kesedaran bahawa diri dimuhasabah sentiasa...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...