Tuesday 14 July 2009

Anak sulong dan nombor dua


Banyak perkara telah berlaku ketika sebulan lebih saya tiada di sekolah. Rasa ketinggalan juga. Walaupun ada sesetengah program saya ketahui melalui Dalilah iaitu murid tahun empat yang sering mengirim berita melalui chatbox di dalam blog http://www.permatasahara.blogspot.com/ namun banyak lagi perkara yang tidak saya tahu.

Hari ini saya masuk mengajar tahun satu dan dua kerana jadual saya sememangnya banyak waktu bersama mereka.

Sebenarnya Ahad lepas saya sudah tidak melihat kelibat Nazreen di dalam tahun dua Al-Farabi.
Sangkaan saya kerana dia tidak hadir barangkali.
Hari ini saya bertanya kerana sudah dua kali dia tiada.
Rupa-rupanya dia sudah pindah ke sekolah lain.
Sayu juga rasa hati kerana tidak sempat mengucapkan selamat jalan buatnya.
Dia adalah antara anak murid pertama saya.
Maka bagi saya murid-murid tahun dua Al-Farabi sekarang umpama anak sulong saya.
Dia seorang murid yang nakal di dalam kelas.
Namun kami sering berinteraksi sebagai kawan.
Dia menyatakan minatnya terhadap Nabila budak perempuan di dalam kelasnya.
Dalam kenakalannya saya dapat cungkil kematangannya melalui cara pemikiran dan komunikasinya.
Mungkin kerana dia hanya anak angkat kepada ibu bapanya kini.
Dia antara murid yang seronok saya usik.

Tidak akan saya lupa perkataan Mak Tam yang sebenarnya adalah Maktab akibat dia salah sebut ketika meminta izin pulang awal untuk mengikut emaknya ke Maktab (sekarang Institut Perguruan Sultan Abdul Halim).
Saya bersyukur kerana dia sempat naik Al-Quran dan dia rajin membantu saya mengajar Al-Quran ketika tasmik.

Syahida murid tahun satu Al-Razi yang sempat bersama saya selama lima bulan sahaja.
Dia adalah anak nombor dua saya yang sering menerima teguran dari saya kerana bercakap bersama kawan sebelahnya ketika p&p berlangsung dan tidak memberi tumpuan.
Seorang budak yang cantik dan lemah lembut.
Saya tersentuh dengannya kerana selepas Kem Bestari Solat 1 dia dapat mengekalkan pemakaian tudung yang diwajibkan ketika kem tersebut berlangsung.
Dia mempunyai 2 kawan baik yang sering mengundang airmata seorang kawan yang rasa disisihkan.
Kini mereka tinggal berdua dan tetap berkawan baik dan duduk bersebelahan.
Mungkin tidak akan ada lagi airmata kerana hanya tinggal mereka berdua maka tidak akan rasa disisihkan.

Itu cerita tentang anak sulong dan anak nombor dua saya.
Saya sayang mereka walaupun kadang-kadang mereka mengundang kemarahan saya.
Marah kerana hendak mereka pandai Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain.
Sebenarnya saya hendak melihat anak sulong dan anak nombor saya ini membesar di depan mata saya sehingga tahun enam.
Saya hendak mereka maju dengan program j-QAF ini.
Itu hanya impian saya namun sebagai manusia yang akan mengalami pelbagai tahap kehidupan maka akan berlaku perubahan yang tidak dapat tidak menidakkannya.

Semoga Nazreen dan Syahida berjaya sebagai hamba Allah dan menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...