Monday 13 July 2009

Cerita hari ini


Dua hari berturut-turut sekolah didatangi penjual kad kredit.

Kelmarin dari sebuah bank yang menawarkan kad kredit dengan pendaftaran yang diberi hadiah 'talking kitty jar'.

Hari ini pula dari Giant Kulim yang baru dibuka menawarkan kad diskaun membeli-belah di sana.

Kedua-duanya dikatakan percuma.

Peliknya kedua-duanya meminta slip gaji.

Jika dari bank itu normal kerana penggunaan kad kredit memang akan dipotong dari gaji.

Namun dari Giant timbul sedikit keraguan.

Kak Fidah tegar menahan simpatinya untuk termakan pujuk rayu lelaki berbangsa cina yang datang tadi.

Ini menurutnya berdasarkan pengalaman terpedaya dengan pujuk rayu sebuah bank yang dikatakan tanpa potongan akhirnya gaji tetap dipotong setahun sebanyak RM70.00.

Mujurlah pada hari ini mereka tidak datang memujuk saya walaupun saya bersendirian di dalam bilik guru tengahari tadi.

Agaknya sikap endah tidak endah saya pada kehadiran mereka membuatkan mereka teragak-agak hendak mempromosikan kad tersebut.

Namun kelmarin saya tetap mengisi borang bukan kerana berminat dengan kad kredit malah tidak pernah terlintas dalam benak ini untuk menggunakan kad kredit sama sekali.

Alasan cuma satu sahaja iaitu sekadar hendak memiliki hadiah 'talking kitty jar' untuk permainan kucing-kucing di rumah.

Terhibur melihat gelagat kucing tiga beranak itu apabila jar itu membunyikan suaranya.

Berdekah-dekah adik saya ketawa apabila mereka mencari-cari bunyi dan mengelilingi jar itu.

Rasa bersalah juga dengan niat itu.

Namun sudah saya nyatakan pada wanita cina itu bahawa guru baru yang belum mendapat gaji apatahlagi mempunyai slip gaji.

Kasihan juga melihat penjual-penjual yang berusaha memujuk untuk melariskan barang jualan dan perkhidmatan sebegini.

Namun kadangkala merimaskan apatahlagi ketika kerja.

Hendak disalahkan pun kerana itulah kerja mereka.

Salahnya apabila pujukan sudah menjadi paksaan.

Adakala berlaku penipuan untuk melariskan.


Matlamat tidak menghalalkan cara.

***Berlaku jujur untuk memperolehi sesuatu membawa keberkatan apabila berjaya mendapatnya walaupun memakan masa untuk memperolehinya***

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...